MyMetroNode
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Nazmi Faiz Mansor berkemungkinan besar bakal
dipinjamkan ke kelab Jepun bagi mendapat pendedahan yang bakal membantu
perkembangan kariernya.
Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Tunku Ismail
Sultan Ibrahim mengesahkan pemain itu sudah menandatangani kontrak bersama
Harimau Selatan dan pihaknya merancang untuk meminjamkan pemain berkenaan ke
salah sebuah kelab di negara Matahari Terbit itu.
“Buat masa ini belum tahu kelab mana lagi tapi kita
sedang tengok dan akan pinjamkan Nazmi Faiz dengan kelab Jepun. Saya harap dia
dapat bermain di sana. Jika sudah mendapat pengalaman di Jepun, sudah pasti dia
akan memberi manfaat kepada Johor DT.
“Mengenai Ahmad Hazwan Bakri, kami akan menghantar surat
secara rasmi kepada FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) untuk mendapatkan
khidmat pemain itu,” kata Tunku Ismail.
Tunku Ismail juga menegaskan, seandainya ada pihak yang
mahu membeli Juan Martin atau Jorge Pereyra Diaz dengan harga tinggi, Johor DT
sedia menjual kedua-duanya kerana bajet musim 2017 bakal dikurangkan hampir 50
peratus berbanding tahun lalu.
Malah katanya, Nazrin Nawi akan menyertai Melaka United
(MU) selepas mendapat tawaran tinggi selain atas permintaan pemain itu sendiri
yang minta dilepaskan dengan Johor DT tidak menghadapi masalah berbuat
demikian.
“Mengenai kedudukan Amri Yahyah dalam skuad Johor DT,
saya serahkan kepada Mario Gomez sama ada dia masih diperlukan dalam
perancangan jurulatih,” kata Tunku Ismail.
Mengulas mengenai pembabitan Johor DT dalam saingan
kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan, Tunku Ismail menyifatkan
kehadiran mereka dalam saingan itu memberi impak positif.
Katanya, dari aspek bakat dan fizikal setiap pemain Johor
DT, jelas menunjukkan mereka boleh bersaing tetapi secara realitinya kelab
seperti di China dan Jepun memiliki tahap kualiti permainan yang lebih tinggi.
“Berada pada saingan ACL adalah pengiktirafan tertinggi
di Asia. Sebagai contoh tengok kelab dari Thailand, Buriram FC yang kalah teruk
dalam saingan ACL tapi mereka tetap bangga.
“Malah, ketika kami tewas saingan Piala AFC ramai yang
mengkritik dan soalan saya kepada mereka, sebutkan mana-mana pasukan di
Malaysia yang pernah layak ke separuh akhir Piala AFC dua musim berturut-turut.
Tiada, kecuali kami,” kata Tunku Ismail.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November
2016 @ 8:46 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan