Sukan
Rabu, 3 Jun 2015 | 11:45am
PEMAIN tengah skuad Bawah 23 (B-23) negara, Muhammad Nazmi
Faiz Mansor. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Nazmi Faiz dihantar pulang hari ini - Norza
SINGAPURA: Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2015,
Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan pemain tengah skuad Bawah 23
(B-23) negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor akan dihantar pulang ke tanah air
hari ini selepas digantung enam perlawanan akibat meludah pemain lawan.
Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak
sepatutnya menangguhkan hukuman ke atas pemain berkenaan yang dianggap telah
mencemar nama baik negara pada kejohanan sukan antarabangsa seperti Sukan SEA
memandangkan setiap atlet yang menggalas cabaran negara merupakan 'duta kecil'
yang membawa nama baik Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN 2015.
"Bagi saya, dari mula apa yang dibuat oleh
(Muhammad) Nazmi Faiz dalam sukan perpaduan seperti Sukan SEA ini merupakan
satu contoh yang tidak baik. Perbuatan sedemikian perlu diambil tindakan
segera," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Muhammad Nazmi yang juga pemain skuad Liga Super Selangor
sah terlepas baki saingan acara bola sepak pada temasya Sukan SEA 2015 yang
sedang berlangsung di Singapura. Pemain Selangor itu yang sebelum ini digantung
dua perlawanan, terpaksa menempah 'tiket awal' pulang ke tanah air selepas
Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia AFC pada Selasa memutuskan
mengenakan penggantungan enam perlawanan akibat kesalahan meludah pemain Timor
Leste pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura, Sabtu lepas.
Hukuman berkenaan disahkan oleh Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) menerusi laman Facebook rasmi mereka, semalam.
Muhammad Nazmi Faiz dilaporkan meludah pemain Timor
Leste, Filipe Oliveira sehingga pengadil, Chuan Hui Foo dari Singapura, melayangkan
kad merah ke atas pemain kelahiran Lembah Keramat itu.
Insiden berkenaan berlaku ketika pertemuan antara
Malaysia dan Timor Leste pada aksi pembukaan kumpulan B di Stadium Bishan,
Singapura, Sabtu lepas yang menyaksikan skuad B-23 negara menang tipis 1-0
hasil jaringan D. Saarvindran.
Dalam pada itu, Mohamad Norza meminta pemain skuad B-23
negara untuk melupakan kekalahan besar 1-5 kepada Vietnam pada aksi kedua
kumpulan B di venue yang sama, semalam dan menuntut mereka kembali bangkit
mencatat kemenangan menentang juara bertahan, Thailand di Stadium Bishan,
Khamis ini.
Malaysia berada di tangga keempat kumpulan B menerusi
satu kemenangan dan satu kekalahan dan perlu meraih kemenangan dalam baki tiga
perlawanan dalam menghidupkan kembali peluang ke peringkat separuh akhir Sukan
SEA 2015.
Perlawanan berkenaan adalah menentang Thailand, Khamis
ini; Brunei (8 Jun) dan Laos, tiga hari kemudian. - BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 3 Jun 2015 | 11:45am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan