Sukan
Khamis, 10 September 2015 | 9:43pm
Nazmi Faiz digantung 6 perlawanan kerana meludah
PEMAIN tengah Selangor, Muhammad Nazmi Faiz Mansor. -
Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Pemain tengah Selangor, Muhammad Nazmi Faiz
Mansor yang didapati bersalah meludah pemain Kelantan pada aksi Liga Super di
Stadium Shah Alam, 19 Ogos lepas, dikenakan penggantungan enam perlawanan.
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM) yang bermesyuarat hari ini turut memberi amaran keras kepada pemain
berusia 21 tahun itu yang akan berdepan hukuman lebih berat sekiranya
mengulangi kesalahan sama.
FAM dalam artikel yang disiarkan pada laman webnya,
memaklumkan Nazmi digantung tiga perlawanan terlebih dahulu manakala baki tiga
perlawanan seterusnya bergantung kepada kelakuan yang ditunjukkan pemain
berkenaan.
Keputusan yang dibuat berdasarkan Artikel 40 Kod
Tatatertib FAM 2015 itu, menyaksikan Nazmi bakal terlepas dua aksi pusingan
awal Kumpulan C Piala Malaysia menentang Kelantan dan T-Team, masing-masing
pada 12 dan 19 September ini.
Pemain itu sudah menjalani penggantungan automatik pada
aksi Liga Super antara Selangor dan Perak pada 22 Ogos lepas di Stadium Perak.
Nazmi, bagaimanapun, boleh mengemukakan rayuan untuk
meringankan hukuman itu.
Pemain itu bertindak meludah penyerang Kelantan, Erwin
Carillo sebelum dilayangkan kad merah oleh pengadil, Suhaizi Shukri ketika
Selangor mengalahkan Kelantan 3-0 di laman sendiri pada aksi Liga Super, 19
Ogos lepas.
Pada Jun lepas, Nazmi turut digantung enam perlawanan
selepas meludah pemain Timor Leste, Filipe Oliveira dalam perlawanan pertama
kedua-dua pasukan di Sukan SEA Singapura.
- BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 10 September 2015 | 9:43
Tiada ulasan:
Catat Ulasan