MyMetroNode
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Ia satu pencapaian
baik jika skuad muda negara boleh mara dengan rekod tanpa kalah,” kata
pengkritik bola sepak Serbegeth Singh yang melontarkan cabaran kepada skuad
bawah 23 tahun negara (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee yang berdepan
kumpulan maut pada Sukan SEA Singapura Jun ini.
Serbegeth atau dikenali sebagai
Shebby berkata, juara bertahan Thailand dan Vietnam pasukan pilihan Kumpulan B
jika dilihat kepada prestasi semasa namun halangan itu boleh diatasi jika
pengendali negara itu dapat menerapkan taktikal yang betul.
“Pada Sukan SEA paling penting
adalah keputusan. Atas kertas, Thailand dan Vietnam lebih kuat namun jika kita
berjaya mengelak daripada tewas dua perlawanan penting ini dan meraih mata
maksimum apabila menentang Laos, Timor Leste dan Brunei, peluang tetap ada
kerana mungkin nasib kita bergantung kepada perbezaan jaringan.
“Tapi bagi saya kita kena harungi
saingan awal ini dengan rekod tanpa kalah, tidak kira sama ada kita layak
ataupun tidak ke separuh akhir. Kalau kita lihat pasukan New Zealand, walaupun
tersingkir di Piala Dunia 2010 mereka tidak tewas semua tiga perlawanan, itu
juga satu pencapaian baik,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Tuah undian nyata tidak memihak
kepada Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan B, berbanding Kumpulan A yang
hanya membabitkan saingan pasukan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar,
Kemboja dan Filipina.
Thailand dan Vietnam
masing-masing dikendalikan oleh jurulatih skuad senior mereka iaitu Kiatisuk
Senamuang dan Toshiya Miura yang memiliki barisan pemain muda terbaik dan ini
terbukti apabila mereka layak ke pusingan akhir AFC B-23 di Qatar tahun depan
sedangkan skuad B-22 negara kendalian Razip Ismail terkandas.
Bagaimanapun Serbegeth yang juga
bekas Penasihat Global kelab Inggeris Blackburn Rovers percaya hidup mati
perjuangan skuad negara di Singapura banyak bergantung kepada keupayaan pemain
bukan daripada skuad Harimau Muda untuk merebut dua kedudukan teratas kumpulan
ke separuh akhir.
Jika pada dua edisi terakhir
pemain Harimau Muda A menjadi pilihan utama pengendali Datuk Ong Kim Swee namun
senario itu pantas berubah dengan hanya sembilan pemain daripada program FAM
itu dipanggil menyertai latihan akhir manakala 21 lagi pemain adalah pemain
pasukan negeri dan kelab masing-masing.
“Saya fikir pemain yang mewakili
pasukan negeri dan kelab harus menunjukkan prestasi tinggi sebagai bukti tahap
liga tempatan kita. Kalau pemain luar ini gagal seperti yang berlaku kepada
Nazmi Faiz Mansor ketika bersama skuad Razip Ismail (kelayakan AFC B-23) tempoh
hari, ini menunjukkan liga kita tak kuat,” katanya.
Di bawah kendalian Kim Swee,
Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas pada 2011 di Jakarta namun sekadar
menduduki tempat keempat di Myanmar dua tahun lalu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 17 April 2015 @ 10:06 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan