Simpan Artikel
MyMetroNode
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tak pernah serik.
Itu ungkapan sesuai buat pemain
tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Muhamad Nazmi Faiz Mansor (gambar) yang
digantung satu perlawanan dan denda RM3,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana bertindak kasar ketika aksi suku
akhir kedua Piala FA.
Jika melihat kepada tindakan
pemain berusia 22 tahun itu yang sengaja menyepak pemain import Pahang Matheus
Alves pada aksi di Larkin, mungkin hukuman lebih berat seharusnya diberikan.
Ini kerana, ia bukan kali pertama
pemain yang dilabel ‘wonderkid’ satu ketika dulu dan pernah mengikat kontrak
bersama kelab Portugal SC Beira-Mar itu terbabit dengan insiden salah laku di
padang.
Nazmi pernah digantung enam
perlawanan kerana meludah pemain Kelantan ketika mewakili Selangor pada September
2015 dan itu insiden kedua kerana dia pernah melakukan kesalahan sama kerana
meludah pemain Timor Leste Filipe Oliveira dalam saingan Sukan SEA Singapura
sebelum itu.
Malah pemain muda berbakat ini
juga pernah menumbuk pemain Qatar dalam aksi persahabatan antarabangsa bersama
skuad B-22 pada 2012 selain kekasaran yang sama ke atas pemain tengah PDRM
Andrezinho pada April 2016.
Nazmi mungkin boleh menarik
sedikit nafas lega kerana tindakannya tidak mahu bersalaman dengan pemain
Pahang selepas perlawanan Piala FA itu hanya diberikan amaran Jawatankuasa
Tatatertib FAM.
Bagaimanapun bekas pemain
kebangsaan Bakri Ibni mengingatkan pemain muda itu supaya memperbaiki diri
sebagai pemain.
“Untuk apa ada bakat jika
perangai macam itu, walaupun Nazmi masih muda, dia sepatutnya sudah banyak
belajar.
“Tapi kita tidak boleh meletakkan
kesalahan kepada dirinya saja, faktor sekeliling juga boleh menyumbang kepada
karektor pemain sama ada jurulatih, penyokong malah pengadil juga boleh memberi
nasihat kepada pemain muda itu ketika di padang.
“Mungkin salah kita juga yang
memuja dan memanjakan pemain secara berlebihan sehingga ada besar kepala. Bola
sepak membabitkan semangat kesukanan, kalau kita tiada hormat kepada pemain
lain, ia bukan saja memberi imej buruk kepada individu itu, malah Malaysia,’’
katanya kepada Arena Metro.
Selain Nazmi, empat lagi pemain
Liga Super turut digantung satu perlawanan dan dikenakan denda RM3,000 atas
kesalahan melakukan terjahan keras mengikut peruntukan dalam Artikel 81 badan
induk itu.
Mereka ialah rakan sepasukan
Nazmi, Afiq Fazail dan pemain Pahang Mohamadou Sumareh yang turut melakukan
kesalahan ketika pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Piala FA itu.
Pemain Kedah Mohd Rizal Ghazali
yang sudah digantung automatik akibat menerima kad merah pada aksi bertemu
T-Team, 15 April lalu, dikenakan tambahan penggantungan satu perlawanan
manakala pemain T-Team, Mohd Fakhrurazi Musa digantung dua perlawanan akibat
mengumpul tiga kad kuning.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 27 April 2017 @ 8:45 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan