Krisis kewangan punca Nazmi Faiz
pulang ke Malaysia?
ISU kepulangan pemain remaja
kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor pasti menjadi tajuk utama media arus perdana
untuk sekurang-kurangnya sebulan.
Meskipun PKNS Selangor sudah
mengesahkan kemasukan Nazmi bersama kelab Selangor itu, persoalan utama,..
iaitu mengapa dia mahu menamatkan kontrak dengan SC Beira Mar, tidak dijawab
ketika sidang media pada Sabtu.
Sehari sebelum sidang media itu,
hampir kesemua media arus perdana melaporkan rasa kecewa pengendali Harimau
Muda A, Ong Kim Swee serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad terhadap
kepulangan mengejut Nazmi.
Secara tidak langsung, ia mungkin
menimbulkan prasangka kurang baik terhadap Nazmi.
Namun, sumber yang rapat dengan
Nazmi mendedahkan faktor sebenar mengapa permata muda bola sepak negara itu,
mengambil keputusan untuk pulang dan menerima lamaran PKNS Selangor.
S-C Beira Mar yang berpangkalan
di Aveiro sebenarnya menghadapi masalah kewangan dan ia mungkin kesan daripada
krisis kewangan Euro yang turut melanda Portugal selain Greece.
"Tiada siapa yang tahu,
Nazmi hanya menerima 500 euro untuk tempoh enam bulan dia berada di Portugal
dan keadaan itu amat menyulitkannya," kata sumber itu.
Nazmi juga dikatakan terpaksa
keluar dari kediamannya dan menumpang di rumah rakan sepasukan, kerana tidak
mempunyai wang untuk membayar sewa.
Difahamkan bapa Nazmi, Mansor
Mustapha ada merujuk kepada FAM mengenai kemungkinan membawa anaknya pulang dan
diserapkan kembali ke skuad Harimau Muda A kendalian Kim Swee tidak lama
sebelum ini.
Bagaimanapun, FAM dikatakan sukar
membayar yuran perpindahan buat Nazmi kepada Beira-Mar yang dianggarkan sekitar
50,000 euro dan ia mendorong Mansor, untuk berbincang dengan PKNS atas nasihat
ejen Nazmi, Marco Guimareas.
Justeru, kesimpulan isu ini
adalah mudah, iaitu PKNS sedia membayar yuran perpindahan dan Mansor mahu
mengambil pendekatan terbaik demi menyelamatkan karier anaknya.
"Mansor risau dengan situasi
anaknya di Portugal dan tidak mahu karier Nazmi terjejas hanya kerana Biera Mar
menghadapi masalah kewangan.
"Kerana itu, dia mengambil
keputusan membawa anaknya pulang dengan PKNS sebagai pasukan baru Nazmi.
"Meskipun kembali ke saingan
Liga M, sudah pun terdapat usaha membawa Nazmi kembali ke luar negara pada masa
depan dan PKNS, turut menyuarakan kesedian melepaskannya jika mendapat peluang
yang baik," kata sumber yang rapat dengan Nazmi itu.
Tindakan Mansor dan juga
Guimareas mungkin tampak membelakangi FAM, tetapi ia adalah mengikut garis
panduan sah FIFA dalam urusan jual beli pemain seperti yang dinyatakan ejen
itu.
Apa pun, diharapkan FAM selaku
badan induk bola sepak negara bersikap telus dengan pengurusan PKNS dalam usaha
kelab itu menurunkan Nazmi untuk saingan Liga Super.
PKNS selaku pasukan baru Nazmi
pula, wajar melepaskan pemain itu jika dia menerima tugasan bersama skuad
kendalian Kim Swee selepas ini.
Perkembangan ini memberi gambaran
jelas,....bahawa Nazmi pulang bukan kerana masalah peribadi seperti
digembar-gemburkan dan juga bukan kerana tawaran lumayan PKNS.
Presiden Kelab Bola Sepak PKNS
Selangor, Noor Hisham Ghouth sebelum ini mengakui akan merujuk dengan FAM,
kerana mahu segera menurnkan Nazmi untuk aksi Liga Super berdepan Felda United
16 Febuari depan.
Kelab itu, melabel Nazmi sebagai
pemain amatur bawah umur 21 tahun yang boleh segera didaftarkan dalam pasukan.
Namun, FAM dijangka mempunyai
hujah tersendiri untuk tidak segera memberi kelulusan buat Nazmi beraksi.
Terdapat kemungkinan besar, FAM
tidak akan mengiktiraf Nazmi sebagai pemain amatur bawah 21 tahun kerana dia
sudah mempunyai kontrak profesional bersama Beira-Mar.
Jika ini berlaku, Nazmi akan
hanya boleh diturunkan pada April, apabila pintu perpindahan kedua pemain Liga
M dibuka dan pemain ini tidak akan beraksi dalam saingan kompetitif untuk tempoh
dua bulan.
Justeru, di sini perlu ada tolak
ansur dari semua pihak terbabit bagi memastikan karier Nazmi tidak terjejas
selepas pulang ke tanahair.
Harapan penulis ialah, Nazmi
meraih pengalaman berharga dengan kepayahan yang dilalui di bumi Portugal dan
terus berusha mengembangkan karier di luar negara selepas ini.
Jika Nazmi meraih peluang kedua
ke Eropah selepas ini,..pemain dari Lembah Keramat ini pasti lebih matang untuk
mengharungi kesukaran bergelar pemain profesional di benua itu.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan