Isnin, 9 Mac 2020

Nazmi buat Safawi dilupakan


SUKAN»Bola
Ahad, 8 March 2020 | 8:34pm

PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor. - Foto Hairul Anuar Rahim
Nazmi buat Safawi dilupakan
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
JOHOR BAHRU: Penjaring gol kemenangan Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor enggan diangkat sebagai wira pasukan itu apabila jaringannya memastikan  kemenangan 2-1 menewaskan UiTM FC pada aksi Liga Super, di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, semalam.
                              
Malah dia menganggap kemenangan yang diraih hasil kerjasama berpasukan dan tidak mungkin dia dapat melakukan bersendirian tanpa sokongan rakan sepasukan sepanjang 90 minit perlawanan.


Namun dia mengakui persembahan kurang konsisten menjejas rentak permainan.

"Di awal 15 minit babak pertama beraksi dengan baik.  Tapi selepas kita menjaringkan gol untuk mendahului UiTM FC 1-0, rentak permainan kami mula perlahan dan kerap hilang bola. Situasi itu menjejaskan rentak permainan sebenar JDT.

'Apa  yang boleh saya katakan, kita akan perbaiki lagi kelemahan sepanjang perlawanan itu biarpun meraih tiga mata namun kita tidak boleh cepat berpuas hati kerana banyak lagi harus diperbaiki untuk memantapkan corak permainan, " katanya.

Dalam perlawanan itu, Nazmi Faiz beraksi di posisi sayap kanan bagi menggantikan Safawi Rasid yang direhatkan dan persembahan pemain itu tampak tidak kekok tatkala kerap melakukan gerakan berbahaya yang mengundang cemas di benteng skuad The Lion Troops.

Apapun dia tampak tidak kekok untuk beraksi di posisi itu malah begitu teruja selepas tersenarai dalam kesebelasan utama dan ia penampilan kedua buat dirinya beraksi dalam perlawanan kompetitif selepas diturunkan kerika menentang Suwon Bluewings pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini

"Tidak kisah posisi mana yang diarahkan oleh jurulatih (Benjamin Mora), yang penting berada dalam skuad utama dan komited 100 peratus dalam perlawanan itu.

"Saya bersyukur kerana dapat membantu JDT meraih kemenangan namun saya tidak boleh cepat berpuas hati dan perlu memperbaiki kelemahan pada diri saya untuk aksi seterusnya," kata Nazmi.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/03/663273/nazmi-buat-safawi-dilupakan

Rabu, 4 Mac 2020

Pemain muda JDT 'menakjubkan' - Mora [VIDEO]

MyMetroArena
Rizar Mohd
Noorsukan@hmetro.com.my
KEUPAYAAN barisan pemain muda Johor Darul Ta'zim (JDT) mengikat Gyeongnam FC 1-1 dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi mendapat pujian jurulatih Benjamin Mora.

Mora menegaskan kelibat Afiq Fazail dan Nazmi Faiz Mansor yang di posisi tengah manakala Safawi Rasid selaku sayap kanan dan Adam Nor Azlin mengemudi benteng pertahanan mempamer aksi menakjubkan.

Katanya, walaupun menentang kelab ternama dari Republik Korea namun pemain muda JDT nyata tidak gugup sebaliknya begitu matang beraksi dengan corak permainan pantas dan sentiasa menutup ruang buat pemain skuad kendalian Kim Jong-po bergerak.

"Safawi sering mengundang cemas kepada benteng lawan dan saya tidak nafikan dia pemain muda yang dahagakan kejayaan. Apapun dia akan belajar dan terus belajar untuk lebih mantap kerana bagi saya dia adalah pemain muda terbaik di negara ini.

"Jika dia tidak melakukan percubaan untuk mencari gol, dia tidak akan belajar dan saya suka pemain seperti itu yang begitu bersemangat dan kami perlu beri sokongan kepadanya untuk meneruskan usaha menjadi pemain yang lebih baik.

"Malah saya gembira denga corak permainan Afiq (Fazail), Nazmi (Faiz Mansor) dan Adam (Nor Azlin) yang mengetepikan faktor usia muda dan bersaing dengan pemain lawan yang memiliki pengalaman bukan sahaja dalam saingan liga tempatan mereka malah pentas antarabangsa," katanya.

Mengulas pertukaran Farizal Marlias yang mengalami kecederaan ketika sesi memanas badan, Mora mengakui tidak panik dengan insiden menimpa penjaga gol Harimau Selatan sebaliknya yakin dengan pengganti Farizal iaitu Izham Tarmizi Roslan yang beraksi cemerlang pada aksi itu.

Beliau berkata, persiapan yang dilakukan untuk mengemudi gawang gol bukan tertumpu kepada Farizal sahaja malah ia membabitkan Izham yang beri persembahan terbaik walaupun tersenarai pada saat akhir.

"Saya berbincang dengan Lucho (Luciano Figueroa) dan kami mengambil keputusan untuk meletak Izham selaku penjaga gol utama pada perlawanan itu.

Ternyata dia memberi komitmen tinggi dan berjaya menidakkan beberapa percubaan berbahaya."Mungkin rezeki tidak memihak kami untuk menang dalam perlawanan itu selepas beberapa percubaan terkena tiang dan palang gol.

Namun saya berterima kasih kepada pemain yang tampil dengan corak permainan luar biasa dan satu mata cukup bernilai bagi kami," katanya.
 
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 3:49 PM[1]


[1] https://www.hmetro.com.my/arena/2019/03/433212/pemain-muda-jdt-menakjubkan-mora-video