MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
JARINGAN pemain tengah Johor
Darul Ta’zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor dipilih sebagai Jaringan Terbaik Piala
AFC 2017 yang diumumkan menerusi laman web Konfederasi Bola Sepak Asia
(The-AFC.com) hari ini.
Jaringan pemain tengah kebangsaan
itu dilakukan dalam perlawanan menentang pasukan daripada Kemboja, Beoungket
Angkor pada aksi peringkat kumpulan F yang berlangsung di Stadium Nasional
Olimpik Phnom Penh, Kemboja, 19 April lalu.
Gol itu dihasilkan selepas
penjaga gol tuan rumah, Sou Yaty cuba menerpa untuk mengeluarkan hantaran
lintang di luar kotak penalti namun percubaannya gagal dan menyaksikan bola
tiba di kaki Nazmi sebelum pemain berusia 23 tahun itu melambungkan bola ke
dalam gawang kosong untuk gol kedua skuad Harimau Selatan pada aksi itu.
Juara Piala AFC 2015 itu berjaya
meraih kemenangan 3-0 pada perlawanan terbabit dengan dua lagi gol disumbangkan
penyerang mudanya, Safawi Rasid dan penyerang import, Gabriel Guerra.
Kejayaan itu diraih selepas Nazmi
menerima undian yang tertinggi sekaligus menewaskan tiga lagi pencabar lain
yang turut menempatkan diri dalam senarai akhir bagi merebut anugerah jaringan
terbaik di pentas Piala AFC yang berlangsung pada musim ini.
Tiga lagi calon yang turut
menjaringkan gol yang menarik adalah penyerang JSW Bengaluru, Sunil Chhetri
yang menghasilkan sepakan percuma daripada jarak 20 meter pada ketika pasukan
itu bertemu Maziya Sports and Recreation.
Penyerang Al-Zawraa, Mohannad
Abdulraheem pula menempatkan diri dalam senarai akhir selepas dia yang tidak
dikawal dalam kotak penalti meledak jaringan menerusi sepakan yang melencong
ketika pasukannya bertemu kelab daripada Qatar, Al-Jaish.
Satu lagi jaringan menarik yang
berjaya tersenarai sebagai empat jaringan terbaik Piala AFC musim ini
dihasilkan pemain tengah Ceres Negros, Iain Ramsey yang melakukan rembatan
menggunakan bahagian luar kaki kirinya sekaligus bola ‘melengkung’ memasuki
gawang gol pasukan Tampines Rovers.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 11 November 2017 @ 6:01 PM